DPP Gembira Ahli Jadi Calon PRK DUN Sg Limau


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan yakin pengumuman Azam Samad sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 November ini dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau daripada dirampas Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz mendakwa, pencalonan Azam Samad yang baru berusia 37 tahun itu memberi inspirasi kepada petugas Pemuda PAS dari seluruh negara untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh di Sungai Limau.

“Pencalonan Azam suatu penghormatan kepada Pemuda PAS. Ia juga sebagai amanah yang besar kepada pemuda parti untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan di PRK DUN Sungai Limau.

“Pengisytiharan ahli Pemuda PAS sebagai calon PRK DUN Sungai Limau menaikkan motivasi serta semangat bekerja luar biasa kepada seluruh jentera kami,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

PAS semalam mengumumkan Azam yang juga Ketua Pemuda PAS Jerai sebagai calon mewakili parti itu dalam PRK DUN Sungai Limau yang diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Beliau akan menentang calon BN iaitu pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malik, Perak, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.

Mohamad Suhaimi dalam pada itu mendakwa pihaknya telah menggerakkan seluruh jentera dan petugas yang ada untuk membantu PAS Kedah berhadapan pilihan raya kecil tersebut.

“Kesemua Pemuda kawasan telah memberikan komitmen yang tinggi dan bersemangat bagi memastikan kemenangan dapat dipertahankan,” dakwanya lagi.

0 komentar:

Posting Komentar